Konflik Pencerobohan Turki ke atas Cyprus

Serangan pertama

Rancangan tentera Turki, Atilla 1 ialah untuk mendarat di Kyrenia dan menguasai wilayah-wilayah seperti enklaf Turki berhampiran Nicosia, Gönyeli. Rancangan ini adalah sebagai satu demonstrasi kekuatan dan Turki berharap ia akan dapat mencapai rundingan diplomatik berikutnya. Jika gagal, Turki akan terus memberi tekanan untuk mengawal bahagian utara Cyprus sehingga Famagusta. Tentera Turki mempunyai keyakinan tinggi untuk meraih kejayaan dalam peperangan ini apabila mereka menganggap bahawa mereka lebih dominan di ruang udara dan air di Mediterranean. Armada tentera laut yang terdiri daripada 5 buah kapal pemusnah dan 31 buah kapal pendarat akan membawa tentera-tentera[35] manakala tentera udara pula akan menerjunkan pasukan payung terjun serta bekal-bekalan selain menyediakan sokongan udara kepada keseluruhan operasi mereka. Turki mengerahkan 40,000 tentera dan 180 buah kereta kebal ketika konfrontasi di Cyprus.

Situasi pertempuran pada 21 Julai.

Yunani Cyprus pula melancarkan rancangan Aphrodite, yang menyasarkan serangan berterusan ke atas enklaf Turki di Cyprus sebaik sahaja berita permulaan serangan Turki sampai ke pihak mereka. Serangan tersebut dibuat untuk memutuskan rangkaian antara penceroboh Turki dengan enklaf tersebut. Pada 20 Julai 1974, Pasukan Khas "Cakmak", satu batalion daripada Rejimen Infantri Amfibia, Rejimen Infantri ke-50 dan satu ketumbukan daripada Batalion Kereta Kebal Divisyen ke-39 (Divisyen Infantri ke-39) untuk membentuk keseluruhan tentera sekitar 3,000 perajurit dan 12 buah kereta kebal M47. Kesemua mereka mendarat di Pentemilli tanpa menghadapi tentangan, yang terletak beberapa batu jauh daripada pelabuhan utama Kyrenia. Dua buah bot motor torpedo milik Yunani Cyprus, T-1 dan T-3 cuba menyukarkan usaha pendaratan Turki tetapi ia dimusnahkan pada awal pagi hari pendaratan tersebut.[36]

Serangan darat pertama yang dilancarkan oleh Yunani Cyprus bermula pada jam 10 pagi melalui batalion infantri ke-251 dan disokong oleh 5 buah kereta kebal T-34. Tentera Turki berjaya menangkis serangan tersebut dengan memusnahkan kesemua lima buah kereta kebal musuh sebelum meneruskan usaha kemaraan. Serangan berikutnya daripada batalion ke-281, 316 dan 286 yang diketuai oleh pegawai Pengawal Kebangsaan, Leftenan Kolonel Boufas pada mulanya memaksa Turki untuk berundur tetapi akhirnya Rejimen Infantri Ke-50 Turki berjaya merebut kembali penguasaan dan memaksa Yunani untuk menggali parit.

Di tempat lain berhampiran Nicosia, di enklaf Turki iaitu Gönyeli, pendaratan pasukan payung terjun Turki mengundang padah apabila seramai 90 daripada 120 perajurit kehilangan nyawa mereka. Sebanyak 550 orang tentera dan 20 buah kereta kebal milik ELDYK memulakan pengepungan Gönyeli, yang merupakan titik strategik penting bagi lebuhraya Kyrenia-Nicosia sekali gus memintas laluan antara utara dan pusat pulau. Turki Cyprus bersiap sedia menghadapi pengepungan dan membuat pertahanan dengan berkubu dan memasang struktur anti-kereta kebal. Pada awalnya, mereka berjaya menghadapi serangan Yunani dan kemudiannya melancarkan serangan balas pimpinan batalion ke-399 sekali gus mengenakan kerugian yang besar ke atas Yunani Cyprus serta menyaksikan sekurang-kurangnya empat buah kereta kebal musuh telah musnah.

Pada 20 Julai, Yunani Cyprus menyerang enklaf Turki Cyprus di Limassol, Paphos dan Agyrta-Nicosia dengan meraih berbagai-bagai kejayaan yang berbeza. Di Limassol dan Paphos, Turki telah dikalahkan dan ramai antara mereka dibawa sebagai tawanan perang. Pada hari yang sama, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima pakai resolusi 354, yang mendesak kesemua unit tentera asing untuk meninggalkan Cyprus dan memanggil Britain, Turki dan Greece untuk memulakan rundingan bagi mengembalikan keamanan semula di pulau itu.

Pada 21 Julai, kapal pemusnah Turki iaitu Kocatepe ditembak pasukan sendiri selepas taktik tipu helah yang direncanakan oleh Yunani Cyprus sekali gus menenggelamkan kesemua 53 kru.[37] Yunani juga mengalami perkara yang sama apabila kira-kira 30 orang komando terkorban apabila pesawat Noratlas mengangkut mereka dari Crete ke Cyprus ditembak jatuh oleh tembakan anti-pesawat milik Yunani Cyprus. Pemerintahan junta di Greece sedia maklum bahawa penduduk tempatan Yunani Cyprus tidak mampu mengalahkan Turki. Dengan itu, batalion Infantri ke-537, sebuah batalion kereta kebal dan seramai 500 sukarelawan Cyprus telah dikirim sebagai bantuan ketenteraan. Pada pagi 21 Julai, kesemua enklaf Turki di Limassol dan Larnaka telah dirampas oleh Yunani. Ribuan orang Turki ditahan sebagai tawanan perang. Enklaf Turki lain di Lefka, Denizli, Famagusta dan Limnitis juga diserang.

Kejatuhan rejim junta Greece

Pada 22 Julai, gelombang kedua serangan Turki termasuk sebuah ketumbukan kereta kebal dan sebuah infantri mekanis tiba di Cyprus. Tentera Turki melancarkan serangan ke atas Kyrenia yang dipertahankan oleh 33MK Komando dan batalion infantri ke-306, 251 dan 241. Mereka akhirnya berjaya menguasai kota tersebut selepas kerugian lima buah kereta kebal. Turki yang dapat menguasai Kyrenia berupaya membina talian perhubungan antara Kyrenia dan Gönyeli. Perkembangan ini merupakan pencapaian yang penting kerana buat pertama kali, enklaf Turki di Gönyeli dapat dilindungi. Kejayaan ini juga membolehkan Turki dapat menghantar lebih ramai tentera ke Cyprus.

Kekalahan Yunani pada hari-hari awal peperangan mendorong kepada kejatuhan rejim junta di Greece pada 23 Julai. Britain pula cuba berperanan memulihkan keamanan dengan mengadakan rundingan antara Greece dan Turki pada 25 Julai. Perbincangan berlangsung sehingga 14 Ogos dan tidak dapat mencapai kata sepakat. Turki mendesak pembentukan persekutuan Cyprus dan membenarkan perpindahan penduduk. Presiden baru Cyprus, Clerides meminta tempoh selama dua hari untuk membuat keputusan tetapi Turki mendesak keputusan segera dan memulakan gelombang kedua serangan mereka pada 14 Ogos yang dikenali sebagai Atilla 2.[38]

Gelombang kedua

Peta pembahagian Cyprus.

Dua buah divisyen infantri Turki telah dihantar ke Cyprus. Yunani Cyprus pula menyusun pertahanan mereka di sepanjang garisan Troodos, di mana tinggal 40 peratus daripada kawasan pulau dapat diakses oleh tentera Turki. Bahagian "Barat" garisan pertahanan itu bermula daripada kawasan laut sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nicosia dan ia dipertahankan oleh Kumpulan Taktikal ke-11. Bahagian "Pusat" pula bermula daripada Lapangan Terbang Nicosia dan berakhir di kawasan subbandar Nicosia, Mia Milia. Pertahanan Yunani ini terdiri daripada batalion simpanan ke-212, kem detasmen ELDYK (3 ketumbukan), batalion simpanan ke-336 (dikuatkan dengan pelbagai ketumbukan, jumlahnya mencecah 1,300 orang tentera), batalion ke-211 dan batalion artileri ke-187. Bahagian sayap "Timur" terdiri daripada Kumpulan Taktikal ke-12 dan ke-9, di mana mereka menjangkakan serangan hebat daripada Turki. Jumlah keseluruhan tentera Yunani kira-kira 20,000 tentera dan 21 buah kereta kebal T-34.

Sementara itu, angkatan tentera Turki pula terdiri daripada 40,000 orang tentera di mana kebanyakannya menganggotai divisyen infantri ke-28 dan ke-39, terdapat satu rejimen berperisai (disokong satu batalion kereta kebal dan satu batalion infantri mekanis daripada briged ke-5), Rejimen Turki di Cyprus (disokong satu batalion payung terjun, dan satu batalion daripada rejimen ke-50), satu briged Komando, satu briged payung terjun, 160 hingga 200 buah kereta kebal, 200 APC dan 120 buah meriam sasar. Tambahan lagi, terdapat juga sisa 5 rejimen Turki Cyprus (bersama 19 batalion). Sasaran Turki adalah untuk menyambungkan perhubungan dengan enklaf Turki di Famagusta dan Limnitis.

Garisan Hijau di Nicosia.

Operasi Atilla-2 bermula apabila divisyen ke-39 Turki menyerang garisan pertahanan Mia Milia yang dipertahankan oleh batalion ke-399. Tentera Turki berjaya memberi tentangan hebat dan mengheret Yunani Cyprus bersama batalion ke-241 untuk berundur ke Famagusta. Di Bahagian "Pusat", Turki menghadapi penentangan hebat yang sedikit sebanyak menjejaskan kemaraan mereka. Pada 15 Ogos, hanya batalion ke-341 bersama tiga buah kereta kebal t-34 menentang kemaraan Turki manakala saki baki Kumpulan Taktikal ke-12 berundur ke Larnaca. Pada petangnya, tentera Turki berjaya memasuki kota Famagusta. Divisyen ke-27 Turki berjaya melangsungkan kemaraan sejauh 6 kilometer di Bahagian "Barat" garisan pertahanan musuh pada hari yang sama. Pada 16 Ogos, Turki dapat mengawal kota Morfou dan Limnitis. Dengan itu, matlamat operasi Atilla-2 dapat dicapai. Kempen Turki di Cyprus menjurus kepada pendudukan 40 peratus pulau tersebut.

Pulau tersebut juga dibahagikan oleh garis pemisah yang dikenali sebagai Garisan Hijau. Pelarian Yunani yang berjumlah sehingga 160,000 orang terpaksa berpindah ke bahagian Cyprus yang dikawal oleh Yunani manakala pelarian Turki pula berpindah ke bahagian yang diduduki oleh Turki.[39] Semasa peperangan, Turki kerugian 3,500 orang tentera manakala tentera Yunani pula mencatatkan 6,000 orang angka korban. Turki seterusnya mnegisytiharkan penubuhan Republik Turki Cyprus Utara yang mana ia tidak diiktiraf oleh komuniti antarabangsa. Sehingga ke saat ini, Cyprus masih lagi terpisah walaupun beberapa usaha untuk melakukan rundingan cuba dibuat bersama.

Rujukan

WikiPedia: Pencerobohan Turki ke atas Cyprus http://www.mfa.gov.cy/mfa/embassies/embassy_brusse... http://www.mfa.gov.cy/mfa/mfa2006.nsf/All/8FA6CC01... http://www.moi.gov.cy/moi/pio/pio.nsf/0/5CFDB55E72... http://bookshop.europa.eu/en/euromosaic-iii-pbNC74... http://www.eldyk74.gr/index.php?option=com_content... http://www.cmp-cyprus.org/media/attachments/Quick%... https://books.google.com/books?ei=EMbjTcnNDs_z-gbg... https://books.google.com/books?id=5XATV852SyIC&pg=... https://books.google.com/books?id=7MXPOz95A_IC https://books.google.com/books?id=Dh6jydKXikoC&pg=...